Saya diperkenalkan kepada Rush sekitar awal tahun 90an ketika saya melepak di rumah Jadam (ex-Profane Creation). Saya disogokkan dengan album ini, dan lagu yang terus menambat hati saya ialah lagu Tom Sawyer. Kata orang putih, the rest is history.
Hati terus tertambat apabila album kedua yang saya dengar adalah A Farewell To Kings. Dalam ulasan album tersebut (sila klik link) ada saya nyatakan kaitan album tersebut dengan Dream Theater. Bahkan drummer asal Dream Theater, Mike Portnoy, gilakan drummer Rush ini, Neil Peart. Jika anda meneliti gaya permainan drum Neil, anda akan pasti tidak akan meragui kegilaan Mike. Neil adalah drummer hebat dengan permainan agresif dan unconventional ketika itu (akhir tahun 70an hingga pertengahan 80an).
Album ini menampilkan 7 buah lagu. Dimulakan dengan lagu Tom Sawyer yang saya kira adalah lagu mula paling sesuai abad lepas. Ia begitu menangkap dan siapa yang tertangkap akan terperangkap hingga ke akhir album. Lagu Red Barchetta lebih progresif berbanding lagu mula tetapi tiada siapa menyangka lagu YYZ adalah lagu kemuncak. Walaupun dikatakan album ini adalah album yang agak mellow dari segi elemen progresifnya, tetapi YYZ adalah antara lagu paling kompleks sepanjang karier Rush. Dan pada masa yang sama, lagu yang boleh dikatakan popular kerana selalu dicover oleh pemuzik dan juga filem.
Untuk band yang dianggotai oleh 3 orang pemuzik dari Canada ini, kita tidak dapat menyangka mereka dapat menghasilkan lagu-lagu kompleks dan intricate, yang mungkin hanya dapat dicapai jika hubungan kolaborasi ini ditebarkan kepada 5-6 orang. Tetapi, Rush membuktikannya. Mereka adalah pemuzik yang world-class dan sebahagian kecil bukti tersebut dapat dilihat di dalam album ini.